Thursday, September 16, 2010

Pemakaian Kaum-kaum Lain Di Malaysia



            Baba merupakan satu kumpulan etnik yang mula menetap di negara kita mulai kurun ke 15 dan juga merupakan satu kategori Peranakan Cina. Dalam catatan sejarah, baba merujuk kepada kaum Cina yang berketurunan campuran dengan orang tempatan di negeri Melaka. Mereka memperkenalkan diri mereka sebagai Baba atau peranakan. Etnik Baba boleh dikesan melalui beberapa budaya seperti dari segi pakaian.
            Hingga ke hari ini masih terdapat banyak kaum Nyonya yang memakai kain sarung dan kebaya. Mereka mengenakan kebaya dengan sarung dan kasut cantik bermanik-manik yang disebut "kasut manek". Kebaya yang dipakai oleh masyarakat Baba memerlukan 3 pasang kerongsang untuk dijadikan butang yang mana budaya yang diwarisi masyarakat Melayu tidak mempunyai butang.
            Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga dijahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Bagaimanapun, menurut pengusaha kebaya nyonya dari Toko Ce’ Rose, Sherman Shahar, selari peredaran zaman, sulaman pada kebaya nyonya kini kebanyakannya menggunakan komputer atau mesin jahit elektrik kerana kos dan proses kerjanya yang mudah dan cepat.
            Rahsia indahnya kebaya nyonya selain sulaman dan bahagian belakang baju yang singkat adalah padanan kainnya. Kebaya nyonya tidak boleh dipakai bersama songket, batik Jawa, pario atau seluar kerana ia merosakkan tradisi yang dibawa oleh masyarakat berkenaan. Kebaya nyonya hanya boleh dipadankan bersama sarung batik Nyonya bermotif flora atau pokok. Sarungnya boleh diikat selisih depan atau dijahit belah, kemudian dikemaskan dengan pemakaian tali pinggang besi. Padanan warna sarung yang mampu menaikkan seri kebaya nyonya adalah berdasarkan warna sulaman yang paling terang manakala kepala kain pula perlu berada di bahagian belakang.
            Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini – mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.
            Negeri terbesar di Malaysia, Sarawak, yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Bagi masyarakat Bidayuh, warna hitam adalah warna utama dalam pemakaian mereka. Bagi Kaum wanita masyarakat Bidayuh, pakaian lengkap adalah termasuk baju berlengan pendek atau separuh lengan dan sepasang kain sarung berwarna hitam paras lutut yang dihiasi dengan manik-manik halus pelbagai warna disulami dengan kombinasi warna utama iaitu putih, kuning dan merah. Tudung kecil separuh tinggi dengan corak anyaman yang indah atau penutup kepala daripada kain berwarna-warni dengan sulaman manik halus adalah pelengkap hiasan kepala wanita masyarakat Bidayuh. Kaum Lelaki masyarakat Bidayuh pula lazimnya mengenakan sepasang persalinan berbentuk baju hitam separa lengan atau berlengan pendek dengan sedikit corak berunsur flora dan seluar hitam atau cawat yang berwarna asas seperti biru, merah dan putih. Kain lilit kepala pula adalah pelengkap hiasan kepala kaum lelaki masyarakat ini. Orang Ulu pula menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik.
            Sabah juga terkenal dengan kepelbagaian suku kaum. Pakaian yang lazim dilihat pada kaum Dusun. Ciri-ciri pakaian tradisi kaum ini ialah blaus berlengan panjang (sinipak ) yang berwarna hitam dan gonob (sarong) paras lutut. Pakaian tradisi mereka biasanya dihias dengan renda bercorak yang dijahit tangan pada lengan blaus. Lengan blaus di atas siku ke bawah pula dibelah dan dijahit tangan dengan berbagai corak/ kain berenda. Kain hitam berlapis-lapis dengan renda kuning keemasan (sunduk do sunalatan) disandang di tangan sebelah kanan. Kain dastar sebagai kolar baju.(selindang lolopot). Gonob ditenun sendiri oleh suku kaum Dusun Tindal menggunakan kain tenunan dari hasil pemprosesan pisang larut (textil musa).
            Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak. 
 
                               Nyonya Kebaya

 
  
               Pakaian bumiputera Sarawak—Bidayuh, Iban



No comments:

Post a Comment