Wednesday, September 15, 2010

Pemakaian Kaum Melayu


Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum di mana masing-masing mempunyai agama, adat resam, budaya dan kepercayaan yang tersendiri. Walaupun mempunyai perbezaan yang banyak dari pelbagai segi namun ,semua kaum masih dapat hidup dengan aman dan damai. Antara tiga kaum utama di Malaysia ialah kaum Melayu, Cina dan India. Kaum melayu merupakan etnik yang terbesar di Malaysia dan seterusnya diikuti oleh kaum Cina dan kaum India. Setiap kaum mempunyai  identiti pakaian yang tersendiri.
Dalam kehidupan bangsa melayu, peranan dan kedudukan pakaian adalah sangat penting. Pakaian bangsa Melayu mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti longgar, labur dan panjang. Selain itu, pakaian juga menjadi alat penutup aurat, pelindung tubuh dari panas dan dingin serta mempunyai lambang-lambang tertentu. Pakaian telah berfungsi sebagai alat untuk menutup aurat, menutup aib dan malu bagi masyarakat Melayu. Jika salah memakai, ia akan menimbulkan perasaan malu. Oleh itu, pakaian perlu sesuai dengan ketentuan adat yang ada dalam masyarakat Melayu. Pakaian juga dikatakan menjemput budi iaitu berfungsi untuk membentuk budi pekerti, keperibadian, membentuk watak sehingga si pemakai tahu diri dan berakhlak mulia. Pakaian menolak bala pula bermaksud berpakaian dengan cara yang benar dan patut akan menghindarkan pemakainya daripada mendapat mara bahaya.
Pakaian tradisional bagi kaum lelaki iaitu baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang dan biasanya digandingkan dengan kain samping. Terdapatnya tiga jenis baju Melayu bagi kaum lelaki iaitu baju gunting cina, baju cekak musang dan baju teluk belangga. Baju gunting cina merupakan pakaian yang biasanya dipakai di rumah dan waktu bertamu ke rumah kerabat terdekat. Baju ini akan dilengkapi dengan celana dan songkok. Baju cekak musang selalunya dipakai dalam pertemuan setengah rasmi atau acara keluarga seperti kenduri. Pada perayaan hari raya dan majlis perkahwinan, baju teluk belanga biasanya menjadi pilihan kaum lelaki samaada yang dewasa mahupun kanak-kanak. Cara pemakaian baju cekak musang dan baju teluk belanga adalah berbeza. Samping baju teluk belanga biasanya dipakai di luar manakala samping baju cekak musang dipakai di dalam.
Pakaian kaum perempuan melayu memiliki dua jenis pakaian yang biasa dipakai iaitu baju kurung dan baju kebaya. Baju kurung merupakan baju bersopan yang berciri keselesaan, longgar, labuh dan panjang. Kelengkapan baju kurung terdiri daripada selendang atau tudung. Baju kurung mempunyai paten yang tidak sama seperti baju kurung Johor, Pahang, Kedah, moden dan sebagainya. Baju kebaya pula mempunyai dua versi iaitu baju kebaya labuh dan baju kebaya pendek. Potongan baju kebaya labuh yang juga dikenali sebagai baju panjang mempunyai labuh baju yang dikecilkan sedikit mengikut bentuk badan si pemakai. Baju kebaya pendek pula telah diubahsuai iaitu mempunyai sulaman berbiku di bahagian hujung lengan dan di tepi bahagian belahan serta di bucu baju. Kelengkapan baju kebaya lazimnya terdiri daripada selendang, aksesori dan sebagainya. Selain baju kurung dan baju kebaya, terdapat juga jenis baju yang lain seperti baju kebarung, baju jubah, baju kaftan dan lain-lain.
Dalam perkahwinan orang Melayu, kedua-dua mempelai akan memakai pakaian pengantin iaitu baju Melayu, baju kurung atau baju songket yang dihias indah dengan perhiasannya. Pakaian pengantin sekarang yang lebih moden telah dihiasi dengan satin dan lace. Ketika menghadiri upacara pengebumian Islam, penghadir harus memakai pakaian yang menutup aurat, warna pakaian yang tidak mencolok mata dan mengelakkan memakai barang perhiasan. Biasanya, lelaki akan memakai baju melayu yang berwarna putih atau hitam dan perempuan akan memakai baju kurung berwarna putih atau pastel. Menjelang hari raya, baju melayu dan baju kurung yang merupakan pakaian tradisi akan dipakai oleh bangsa melayu. Pakaian lelaki melayu akan dilengkapi dengan songkok dan lilitan songket di bahagian pinggang manakala pakaian perempuan melayu seperti biasa iaitu baju kurung dan baju kebaya yang akan dipakai bersama dengan selendang. 
Kesimpulannya, pemakaian pakaian melayu perlu dikekalkan supaya tidak terhakis kerana ia merupakan warisan budaya yang melambangkan jati diri bangsa Melayu. Generasi muda harus mengekalkan budaya pemakaian ini supaya dapat diwarisi oleh generasi yang seterusnya.

1 comment:

  1. minta izin untuk ambil isi di atas ya untuk assignment saya. thank you :)

    ReplyDelete