Sejak kebelakangan ini, pelajar Universiti Utara Malaysia(UUM) sering melanggar kod etika pemakaian yang dibuat oleh pihak UUM. Pemakaian pelajar UUM seperti mula kembali ke zaman primitif atau zaman nomad. Ini adalah kerana pakaian yang dipakai agak ketat dan menampakkan susuk tubuh yang sepatutnya tidak dizahirkan, pakaian yang jarang serta pakaian yang menarik perhatian, pakaian menjolok mata yang boleh dikategorikan sebagai tidak sopan terutama bagi wanita. Apa yang dimaksudkan pakaian yang menarik perhatian adalah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan yang menarik perhatian pelajar lain dalam UUM. Gaya hidup berpakaian seperti ini telah didedahkan oleh Azizi Abdullah dalam buku “Gaya Hidup Ranggi” yang mana dinyatakan manusia sudah mula meletakkan etika pemakaian yang tidak betul sebagai asas keperluan kehidupan.
Pada masa kini, buku panduan pelajar yang diberikan kepada mereka hanya dijadikan khazanah untuk disimpan di muzium. Buku panduan ini antara lain telah menetapkan etika pemakaian yang betul kepada semua pelajar secara selaras tanpa mengira bangsa Melayu, Cina, India ataupun lain-lain bangsa.
Sekarang marilah kita lihat apakah sahsiah rupa diri UUM yang sepatutnya diamalkan oleh pelajar,
(a) Setiap pelajar mestilah memakai pakaian formal yang kemas, bersih, menutup aurat dan bersopan mengikut Kod Etika Pakaian Rasmi Universiti. Pakaian melambangkan keperibadian dan imej sebagai seorang mahasiswa UUM.
(b) Pakaian yang kemas dan sopan adalah lambang ketinggian ilmu individu. Setiap urusan sama ada di bilik kuliah dan di pejabat adalah urusan rasmi, maka amalkan cara berpakaian sopan dalam semua aktiviti dalam kampus.
- Sahsiah Rupa Diri Siswa
- Berpakaian formal, bertali leher dan berseluar “slack”.
- Rambut mestilah pendek, kemas dan tidak dibenarkan mencecah kolar baju.
- Berkasut. Tidak dibenarkan memakai selipar.
- Sahsiah Rupa Diri Siswi
- Semua jenis pakaian mestilah kemas, dan sopan. Pakaian mestilah tidak menjolok mata seperti pakaian yang ketat, jarang, pendek, berbelah dan mendedahkan mana-mana bahagian badan seperti bahagian lutut, dada dan perut.
- Berambut rapi bagi yang tidak bertudung.
- Tidak digalakkan memakai barangan kemas.
- Kelonggaran
- Perpustakaan – Boleh memakai kemeja tanpa tali leher atau baju-T berkolar di waktu pejabat
- Zon Kolej Kediaman – Boleh memakai baju berkolar-T berlengan dan berseluar panjang.
Kita dapat lihat antara punca utama yang menyebabkan pelajar UUM tidak lagi berpakaian sopan adalah kerana pengaruh pakaian artis-artis tempatan dan juga luar negara. Artis ini dijadikan idola bagi sesetengah pelajar UUM, lantaran daripada itu segala tingkahlaku artis akan cuba dijadikan contoh bagi mereka seperti cara pemakaian artis tersebut.
Mengapa kita perlu berpakaian sopan semasa di UUM?
Sebagai seorang pelajar, imej apa yang ingin anda tonjolkan? Adakah anda mahu imej ulat buku? Imej seorang pemimpin? Imej pelajar bijak? Imej pelajar popular? Satu peringatan daripada saya, guru dan pelajar lain tidak tahu apa yang ada dalam hati anda. Mereka tidak tahu sama ada anda seorang yang jujur, bijak, berkarisma atau mempunyai bakat kepimpinan.
Namun, mereka hanya boleh meneka apa yang ada dalam hati anda atau apa personaliti anda berdasarkan imej yang anda tonjolkan. Jika anda sentiasa berpakaian kemas, is menonjolkan imej yang bersih, teratur dan sopan di mata pelajar lain dan juga pensyarah. Jika anda sentiasa bercakap dengan sopan dan bahasa yang baik, anda akan dilihat sebagai pelajar yang berhati mulia, mendapat didikan sempurna daripada ibu bapa dan mudah didekati. Sebaliknya, jika anda bersikap biadap, tidak menghormati pelajar lain dan berpakaian tidak kemas, anda akan menonjolkan imej anda yang anda tidak patut didekati.
Apa kaitan penampilan diri dengan kemahiran belajar?
1) Penampilan diri akan membuat anda disenangi rakan pelajar dan guru. Jadi, anda mudah mendapat kerjasama mereka dan mereka akan sedia membantu anda dalam pelajaran.
2) Penampilan diri yang baik akan meningkatkan keyakinan anda untuk lebih berjaya. Jika penampilan anda seperti pelajar cemerlang, anda akan rasa diri anda seperti seorang pelajar cemerlang. Jadi, pilih satu imej yang ingin anda tonjolkan dan pastikan imej itu akan membantu anda mencapai apa yang anda inginkan.
Secara keseluruhannya, cara berpakaian akan melambangkan keperibadian seseorang pelajar serta nilai-nilai dan etika yang murni. Oleh itu, cara berpakaian dan pakaian yang bersih, kemas dan bersesuaian adalah harus ditekankan untuk dijadikan amalan kepada pelajar UUM.
No comments:
Post a Comment