Thursday, September 16, 2010

Perbezaan Pemakaian Pelajar di UUM

Pelajar. Apa yang boleh saya katakan tentang perkataan ini? Secara amnya, pelajar selalu dikaitkan dengan mereka yang masih lagi menuntut ilmu pengajian di institusi-institusi tertentu. Tidak kira samada di peringkat sekolah atau universiti. Namun, terdapat jurang yang sangat besar di antara pelajar sekolah dan pelajar universiti dari segi pemakaian mereka. Jika di peringkat sekolah, para pelajar hendaklah memakai ‘uniform’ yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa namun, di peringkat universiti, para pelajar bebas untuk mengenakan pakaian yang mereka kehendaki asalkan tidak melanggar etika pemakaian pelajar di sesebuah universiti tersebut.

Di Universiti Utara Malaysia ini sendiri sudah dapat dilihat gaya penampilan pelajar-pelajar samada pelajar Malaysia mahupun pelajar antarabangsa. Bak kata orang, sekali pandang sudah dapat kenal pasti asal usul pelajar tersebut. Memang tidak dinafikan lagi gaya dan penampilan seseorang itu mampu melambangkan personaliti seseorang individu tersebut.
Sekiranya diamati dengan betul, jelas terdapat perbezaan diantara gaya dan penampilan di antara pelajar Malaysia dan pelajar dari Negara luar. Contohnya dari segi pemakaian baju.


Tidak perlu melihat jauh. Saya mengambil contoh di tempat saya melanjutkan pelajaran sendiri iaitu universiti utara Malaysia. Berdasarkan kod etika pakaian yang telah kami ketahui, kami diwajibkan untuk memakai pakaian yang formal untuk menghadiri kuliah. Pada peringkat permulaannya mungkin agak sukar untuk  kami membiasakan diri. Namun, selepas beberapa bulan berada di sini, semua itu seolah-olah tidak asing lagi bagi pelajar di universiti utara malaysia ini. Tanpa merasa janggal ataupun hairan melihat orang lain memakai pakaian yang formal untuk menghadiri kuliah. Mungkin juga cara pemakain kami ini berbea dengan cara pemakaian pelajar di universiti lain di mana kebanyakannya bebas untuk mengenakan pakaian yang mereka gemari asalkan tidak melanggar etika yang telah ditetapkan.


Tetapi, inilah uniknya belajar di universiti utara  malaysia ini. Selain mudah untuk  mengenali sesebuah bangsa di Malaysia itu hanya dengan melihat cara pemakaiannya, kita juga dapat melihat gaya dan cara pemakaian pelajar-pelajar bangsa asing yang sedang menuntut di sini. Mungkin cara pemakaian mereka tidak seperti pelajar Malaysia. Namun, mereka mempunyai identiti tersendiri. Hanya dengan sekali pandang sahaja kita sudah dapat kenal pasti Negara asal mereka. Contohnya, ramai di antara pelajar Malaysia yang berbangsa melayu gemar untuk memakai baju kurung (perempuan) untuk ke kuliah ataupun majlis-majlis ilmu yang lain. Tetapi, bagi pelajar-pelajardari Negara lain, mereka mungkin tidak menggunakan baju kurung untuk menghadiri kuliah ataupun majlis-majlis lain. Mereka lebih gemar untuk menggunakan baju yang sederhana dan sinonim dengan masyarakat mereka. Contohnya pelajar dari Negara arab dan Somalia. Mereka selalunya lebih gemar untuk memakai jubah apabila menghadiri kuliah. Memang saya akui sukar untuk kita lihat pelajar berbangsa melayu menggunakan jubah untuk ke kelas dan ini mungkin juga pelik sekiranya ada di antara mereka yang mengenakannya.


 Lain pula ceritanya dengan pelajar dari Negara cina, Thailand dan Indonesia. Mereka selalunya kelihatan ringkas dengan mengenakan kemeja dan seluar untuk ke kelas. Tetapi, seluar yang mereka pakai itu tidak seperti yang digunakan oleh pelajar dari Negara Malaysia. Kita dapat membezakannya dengan melihat potongan seluar tersebut dan warnanya. Jika pelajar Malaysia, mereka lebih suka menggunakan seluar yang berwarna natural seperti hitam, coklat dan putih. Tetapi, pelajar-pelajar asing ini lebih gemar untuk menggunakan seluar yang berwarna-warni seperti ungu, merah, kuning dan sebagainya. Ada juga di antara pelajar malaysia yang sudah terikut-ikut dengan gaya mereka kerana ini dilihat seperti gaya yang sangat menarik. Tetapi. Inilah yang saya maksudkan dengan perbezaan pemakaian antara pelbagai bangsa di univeristi ini.


Selain itu, kita juga dapat membezakan pelajar Malaysia dengan pelajar dari Negara asing dengan melihat cara mereka memakai tudung. Kebiasaanya pelajar berbangsa melayu ini lebih gemar menggunakan tudung empat segi yang bermanik ataupun menggunaka selendang sahaja. Tetapi, jika kita lihat pelajar dari Negara Somalia, Thailand dan Indonesia akan menggunakan tudung yang berlainan jenis dan gaya. Pelajar-pelajar dari Somalia gemar menggunakan tudung yang labuh dan panjang sehingga mencecah paras punggung mereka. Mungkin ini merupakan gaya dan tradisi mereka. Pelajar dari negara indonesia juga gemar menggunakan tudung yang panjang tetapi, mereka masih lagi menggunakan tudung empat segi yang mempunyai sisi yang lebih besar berbanding pelajar melayu. Cara mereka melipat tudung juga berbeza dengan pelajar melayu. Sekiranya diamati secara dekat, mereka akan menggunakan pengeras di bahagian depan tudung mereka supaya tudung mereka kelihatan lebih kemas dan teratur. Perkara yang sama juga berlaku terhadap pelajar dari Negara Thailand dan China.


Jadi, tidak mustahil jika saya katakan mungkin ada pelajar asing yang juga beragama islam tetapi berbeza ciri dan perwatakannya dengan pelajar islam di Malaysia. Inilah keistimewaan yang ada selama saya berada di univeristi utara Malaysia ini. Namun, perbezaan inilah yang menyebabkan Negara Malaysia ini lebih menarik dan dikagumi.

Pemakaian Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM)





Sejak kebelakangan ini, pelajar Universiti Utara Malaysia(UUM) sering melanggar kod etika pemakaian yang dibuat oleh pihak UUM. Pemakaian pelajar UUM seperti mula kembali ke zaman primitif atau zaman nomad. Ini adalah kerana pakaian yang dipakai agak ketat dan menampakkan susuk tubuh yang sepatutnya tidak dizahirkan, pakaian yang jarang serta pakaian yang menarik perhatian, pakaian menjolok mata yang boleh dikategorikan sebagai tidak sopan terutama bagi wanita. Apa yang dimaksudkan pakaian yang menarik perhatian adalah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan yang menarik perhatian pelajar lain dalam UUM. Gaya hidup berpakaian seperti ini telah didedahkan oleh Azizi Abdullah dalam buku “Gaya Hidup Ranggi” yang mana dinyatakan manusia sudah mula meletakkan etika pemakaian yang tidak betul sebagai asas keperluan kehidupan.
Pada masa kini, buku panduan pelajar yang diberikan kepada mereka hanya dijadikan khazanah untuk disimpan di muzium. Buku panduan ini antara lain telah menetapkan etika pemakaian yang betul kepada semua pelajar secara selaras tanpa mengira bangsa Melayu, Cina, India ataupun lain-lain bangsa.
Sekarang marilah kita lihat apakah sahsiah rupa diri UUM yang sepatutnya diamalkan oleh pelajar,
(a)  Setiap pelajar mestilah memakai pakaian formal yang kemas, bersih, menutup aurat dan bersopan mengikut Kod Etika Pakaian Rasmi Universiti. Pakaian melambangkan keperibadian dan imej sebagai seorang mahasiswa UUM.
(b)  Pakaian yang kemas dan sopan adalah lambang ketinggian ilmu individu. Setiap urusan sama ada di bilik kuliah dan di pejabat adalah urusan rasmi, maka amalkan cara berpakaian sopan dalam semua aktiviti dalam kampus.
  • Sahsiah Rupa Diri Siswa
-          Berpakaian formal, bertali leher dan berseluar “slack”.
-          Rambut mestilah pendek, kemas dan tidak dibenarkan mencecah kolar baju.
-          Berkasut. Tidak dibenarkan memakai selipar.
  • Sahsiah Rupa Diri Siswi
-          Semua jenis pakaian mestilah kemas, dan sopan. Pakaian mestilah tidak menjolok mata seperti pakaian yang ketat, jarang, pendek, berbelah dan mendedahkan mana-mana bahagian badan seperti bahagian lutut, dada dan perut.
-          Berambut rapi bagi yang tidak bertudung.
-          Tidak digalakkan memakai barangan kemas.
  • Kelonggaran
-          Perpustakaan – Boleh memakai kemeja tanpa tali leher atau baju-T berkolar di waktu pejabat
-          Zon Kolej Kediaman – Boleh memakai baju berkolar-T berlengan dan berseluar panjang.


Kita dapat lihat antara punca utama yang menyebabkan pelajar UUM tidak lagi berpakaian sopan adalah kerana pengaruh pakaian artis-artis tempatan dan juga luar negara. Artis ini dijadikan idola bagi sesetengah pelajar UUM, lantaran daripada itu segala tingkahlaku artis akan cuba dijadikan contoh bagi mereka seperti cara pemakaian artis tersebut.

Mengapa kita perlu berpakaian sopan semasa di UUM?
Sebagai seorang pelajar, imej apa yang ingin anda tonjolkan? Adakah anda mahu imej ulat buku? Imej seorang pemimpin? Imej pelajar bijak? Imej pelajar popular? Satu peringatan daripada saya, guru dan pelajar lain tidak tahu apa yang ada dalam hati anda. Mereka tidak tahu sama ada anda seorang yang jujur, bijak, berkarisma atau mempunyai bakat kepimpinan.

Namun, mereka hanya boleh meneka apa yang ada dalam hati anda atau apa personaliti anda berdasarkan imej yang anda tonjolkan. Jika anda sentiasa berpakaian kemas, is menonjolkan imej yang bersih, teratur dan sopan di mata pelajar lain dan juga pensyarah. Jika anda sentiasa bercakap dengan sopan dan bahasa yang baik, anda akan dilihat sebagai pelajar yang berhati mulia, mendapat didikan sempurna daripada ibu bapa dan mudah didekati. Sebaliknya, jika anda bersikap biadap, tidak menghormati pelajar lain dan berpakaian tidak kemas, anda akan menonjolkan imej anda yang anda tidak patut didekati.

Apa kaitan penampilan diri dengan kemahiran belajar?
1)    Penampilan diri akan membuat anda disenangi rakan pelajar dan guru. Jadi, anda mudah mendapat kerjasama mereka dan mereka akan sedia membantu anda dalam pelajaran. 
2)  Penampilan diri yang baik akan meningkatkan keyakinan anda untuk lebih berjaya. Jika penampilan anda seperti pelajar cemerlang, anda akan rasa diri anda seperti seorang pelajar cemerlang. Jadi, pilih satu imej yang ingin anda tonjolkan dan pastikan imej itu akan membantu anda mencapai apa yang anda inginkan.

Secara keseluruhannya, cara berpakaian akan melambangkan keperibadian seseorang pelajar serta nilai-nilai dan etika yang murni. Oleh itu, cara berpakaian dan pakaian yang bersih, kemas dan bersesuaian adalah harus ditekankan untuk dijadikan amalan kepada pelajar UUM.